Berkerut-kerut dahinya sehinggakan
hampir-hampir sahaja kedua-dua keningnya bercantum. Hatinya gundah
serentak itu peluh dingin mula membasahi roman muka. Eh, takkanlah
tak cukup. Sudah berulang-ulang kali dia membilang buku latihan
Biologi di hadapannya itu. Dua puluh dua, dua puluh tiga, dua puluh
empat...dan eh, yang ke dua puluh lima mana? Ah, sudah. Mana lagi
selebihnya ? Siapa lagi yang masih belum hantar buku latihan ini ?
Kedua-dua belah anak matanya mula bergerak ke bahagian kanan dan ke
atas ruang mata tanda dia cuba mengingat kembali setiap seorang ahli
kelasnya.
Asyraf sudah, Rahmat sudah, Najmi
sudah, Naufal yang paling liat sekali pun sudah. Siapa lagi ya ?
Banyak persoalan yang bersilih ganti dalam benak fikiran. Sesekali
dia membetulkan kedudukan cermin mata bingkai biru yang terletak pada
batang hidungnya. Jangan dibuat gila dengan Cikgu Susanti. Minggu
lepas sahaja, 11 orang diarahkan untuk berlari mengelilingi blok
bangunan makmal sebanyak tiga kali gara-gara terlewat menghantar buku
latihan kepadanya. Dia pula, habis diharuk kerana gagal mengumpulkan
buku-buku latihan tersebut. Hmm, hari ini apa pula ya ?
Jantungnya berdegup kencang sekencang
rasa cuaknya pada ketika ini. Dia mula rasa mual. Mual dengan sikap
sambalewa segelintir rakan sekelasnya. Awal-awal lagi dia sudah
angkat bendera putih tanda menolak jawatan ketua kelas 5 Sains 1.
Bukan apa, dia tahu bukan senang ingin menjadi seorang ketua.
Pelbagai perkara harus digalas pada pundak. Amanah cikgu, ragam rakan
sekelas, kebajikan kelas dan pelbagai hal lagilah. Pendek kata,
menerima jawatan ketua kelas ini umpama satu mimpi ngeri buat
dirinya.
“ Baiklah, kamu semua boleh duduk”,
Cikgu Susanti bernada santai selepas usai bacaan doa memulakan
pelajaran. Hari ini dia kelihatan sedikit teduh. Mungkin dek padanan
rona tudung merah jambu serta baju kurungnya yang sedondon ditambah
lagi dengan kerongsang perak berjurai yang kemas dipinkan di bahagian
bawah tudungnnya.
Hari ini pun dia sedikit mencolekkan
gincu berwarna pastel dan ada sedikit olahan warna merah pudar pada
bibirnya. Ainuddin yang sedari tadi berdetak-detuk menunggu giliran
untuk Cikgu Susanti mengeluarkan arahan kepadanya untuk menghantar
buku-buku latihan seisi kelas sedikit berlapang hati. Hari ini topik
baru. Topik berkaitan sistem perkumuhan manusia. Kebiasaannya, cikgu
tidak akan meminta untuk menghantar apa-apa sekiranya ada topik baru
yang ingin diajar pada hari tersebut. Memang bertuahlah dia. Tak
perlu berpening kepala memikir alasan pelbagai.
Seisi kelas senyap sahaja. Mungkin ada
yang masih terpisat-pisat dengan formula Matematik Tambahan baru yang
diajarkan oleh Puan Norizah sebelum kelas ini. Raauf yang duduk di
bahagian hadapan sudah tersengguk-sengguk. Zulhilmi juga begitu.
Kelas yang berlangsung di makmal Biologi 2 pada pagi ini sedikit
dingin. Malam semalam bumi Sains Johor dilimpahi rahmat Tuhan dengan
hujan. Atmosfera dingin malam semalam masih kemas membaluti
persekitaran pagi ini.
Kelas tamat. Jam tepat menunjukkan
pukul 10.40 pagi. Murid-murid berpusu-puse ke dewan makan. Hari ini
hari Jumaat dan bermakna ada kudapan yang disediakan di dewan makan
pada waktu rehat ini. Bagi yang ingin berbelanja sedikit,
berpesonglah mereka ke kantin sekolah. Ada juga beberapa pelajar yang
menggunakan masa ini untuk tidur sebentar sekadar ingin melepaskan
lelah hidup sebagai warga asrama.
Hanya bunyi rinyutan kipas serta
cakap-cakap pelajar yang separa berbisik sahaja yang kedengaran dalam
kelas 5 Sains 1. Afham telah lama lena di atas meja belajarnya.
Kepalanya cermat diletakkan di atas kedua-dua belah lengannya yang
dirapatkan. Azizul, Rahmat dan Awis pula sibuk meratah beberapa ketul
karipap yang dibeli semenjak pagi tadi di kantin sekolah. Kelas
lengang. Ramai yang keluar rehat. Setelah hampir lima minit lagi
kelas seterusnya akan bermula, barulah sedikit demi sedikit kelas
mula dipenuhi oleh warga kelas masing-masing.
“ Stand up, class. Good Morning,
teacher “ , sapaan Ainuddin kepada guru bahasa Inggeris, Puan
Rafidah yang juga guru kelas 5 Sains 1 dituruti oleh rakan-rakan yang
lain. Selepas sahaja mendapat kebenaran duduk, semua gesit
mengeluarkan buku latihan bahasa Inggeris 'SCORE A IN ENGLISH' di
atas meja. Satu-persatu pelajar bergerak ke arah teacher sambil
menjnjit buku latihan tersebut. Sudah berbulan-bulan mereka dikerah
untuk melengkapkan buku latihan tersebut. Memang letih. Biasalah,
saat-saat hendak menduduki peperiksaan SPM memang agak memenatkan.
Lepas
seorang, seorang pula merasa cubitan oleh teacher.
Haha, biasalah. Apa lagi penyebabnya kalau belum disiapkan latihan
tersebut. Firdauslah yang menjerit kuat sekali kerana dia betul-betul
diketil pada bahagian pinggangnya. Azizul yang gemar berseloroh pun
apa lagi, galaklah dia menggalakkan teacher
meruncingkan cubitannya. Seisi kelas tergelak besar. Tepat pukul
12.05 tengahari, kelas bersurai.
' Adik-adik Form 1
sekalian, aku tau nanti kat masjid korang catat apa-apa yang khatib
cakap waktu khutbah Jumaat nanti. Balik nanti, aku tahu korang
kumpulkan and letak kat dorm BADAR ea', sayup-sayup sahaja
kedengaran suara Awis di dalam bas yang menempatkan puluhan pelajar
Muslim untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Toleh ke
bahagian buritan bas, terdapat segelintir pelajar senior yang galak
bergelak ketawa bergurau dengan adik-adik. Kemesraan yang ada ini
umpama telah diikat kukuh dalam kalangan setiap pelajar.
bersambung.......
No comments:
Post a Comment
Leave your comments if you want . Thank you .