Friday 11 May 2012

Ini Kisah Kami...kelas 5 Sains 1


Berkerut-kerut dahinya sehinggakan hampir-hampir sahaja kedua-dua keningnya bercantum. Hatinya gundah serentak itu peluh dingin mula membasahi roman muka. Eh, takkanlah tak cukup. Sudah berulang-ulang kali dia membilang buku latihan Biologi di hadapannya itu. Dua puluh dua, dua puluh tiga, dua puluh empat...dan eh, yang ke dua puluh lima mana? Ah, sudah. Mana lagi selebihnya ? Siapa lagi yang masih belum hantar buku latihan ini ? Kedua-dua belah anak matanya mula bergerak ke bahagian kanan dan ke atas ruang mata tanda dia cuba mengingat kembali setiap seorang ahli kelasnya.

Asyraf sudah, Rahmat sudah, Najmi sudah, Naufal yang paling liat sekali pun sudah. Siapa lagi ya ? Banyak persoalan yang bersilih ganti dalam benak fikiran. Sesekali dia membetulkan kedudukan cermin mata bingkai biru yang terletak pada batang hidungnya. Jangan dibuat gila dengan Cikgu Susanti. Minggu lepas sahaja, 11 orang diarahkan untuk berlari mengelilingi blok bangunan makmal sebanyak tiga kali gara-gara terlewat menghantar buku latihan kepadanya. Dia pula, habis diharuk kerana gagal mengumpulkan buku-buku latihan tersebut. Hmm, hari ini apa pula ya ?

Jantungnya berdegup kencang sekencang rasa cuaknya pada ketika ini. Dia mula rasa mual. Mual dengan sikap sambalewa segelintir rakan sekelasnya. Awal-awal lagi dia sudah angkat bendera putih tanda menolak jawatan ketua kelas 5 Sains 1. Bukan apa, dia tahu bukan senang ingin menjadi seorang ketua. Pelbagai perkara harus digalas pada pundak. Amanah cikgu, ragam rakan sekelas, kebajikan kelas dan pelbagai hal lagilah. Pendek kata, menerima jawatan ketua kelas ini umpama satu mimpi ngeri buat dirinya.

“ Baiklah, kamu semua boleh duduk”, Cikgu Susanti bernada santai selepas usai bacaan doa memulakan pelajaran. Hari ini dia kelihatan sedikit teduh. Mungkin dek padanan rona tudung merah jambu serta baju kurungnya yang sedondon ditambah lagi dengan kerongsang perak berjurai yang kemas dipinkan di bahagian bawah tudungnnya.

Hari ini pun dia sedikit mencolekkan gincu berwarna pastel dan ada sedikit olahan warna merah pudar pada bibirnya. Ainuddin yang sedari tadi berdetak-detuk menunggu giliran untuk Cikgu Susanti mengeluarkan arahan kepadanya untuk menghantar buku-buku latihan seisi kelas sedikit berlapang hati. Hari ini topik baru. Topik berkaitan sistem perkumuhan manusia. Kebiasaannya, cikgu tidak akan meminta untuk menghantar apa-apa sekiranya ada topik baru yang ingin diajar pada hari tersebut. Memang bertuahlah dia. Tak perlu berpening kepala memikir alasan pelbagai.

Seisi kelas senyap sahaja. Mungkin ada yang masih terpisat-pisat dengan formula Matematik Tambahan baru yang diajarkan oleh Puan Norizah sebelum kelas ini. Raauf yang duduk di bahagian hadapan sudah tersengguk-sengguk. Zulhilmi juga begitu. Kelas yang berlangsung di makmal Biologi 2 pada pagi ini sedikit dingin. Malam semalam bumi Sains Johor dilimpahi rahmat Tuhan dengan hujan. Atmosfera dingin malam semalam masih kemas membaluti persekitaran pagi ini.

Kelas tamat. Jam tepat menunjukkan pukul 10.40 pagi. Murid-murid berpusu-puse ke dewan makan. Hari ini hari Jumaat dan bermakna ada kudapan yang disediakan di dewan makan pada waktu rehat ini. Bagi yang ingin berbelanja sedikit, berpesonglah mereka ke kantin sekolah. Ada juga beberapa pelajar yang menggunakan masa ini untuk tidur sebentar sekadar ingin melepaskan lelah hidup sebagai warga asrama.

Hanya bunyi rinyutan kipas serta cakap-cakap pelajar yang separa berbisik sahaja yang kedengaran dalam kelas 5 Sains 1. Afham telah lama lena di atas meja belajarnya. Kepalanya cermat diletakkan di atas kedua-dua belah lengannya yang dirapatkan. Azizul, Rahmat dan Awis pula sibuk meratah beberapa ketul karipap yang dibeli semenjak pagi tadi di kantin sekolah. Kelas lengang. Ramai yang keluar rehat. Setelah hampir lima minit lagi kelas seterusnya akan bermula, barulah sedikit demi sedikit kelas mula dipenuhi oleh warga kelas masing-masing.

“ Stand up, class. Good Morning, teacher “ , sapaan Ainuddin kepada guru bahasa Inggeris, Puan Rafidah yang juga guru kelas 5 Sains 1 dituruti oleh rakan-rakan yang lain. Selepas sahaja mendapat kebenaran duduk, semua gesit mengeluarkan buku latihan bahasa Inggeris 'SCORE A IN ENGLISH' di atas meja. Satu-persatu pelajar bergerak ke arah teacher sambil menjnjit buku latihan tersebut. Sudah berbulan-bulan mereka dikerah untuk melengkapkan buku latihan tersebut. Memang letih. Biasalah, saat-saat hendak menduduki peperiksaan SPM memang agak memenatkan.

Lepas seorang, seorang pula merasa cubitan oleh teacher. Haha, biasalah. Apa lagi penyebabnya kalau belum disiapkan latihan tersebut. Firdauslah yang menjerit kuat sekali kerana dia betul-betul diketil pada bahagian pinggangnya. Azizul yang gemar berseloroh pun apa lagi, galaklah dia menggalakkan teacher meruncingkan cubitannya. Seisi kelas tergelak besar. Tepat pukul 12.05 tengahari, kelas bersurai.

' Adik-adik Form 1 sekalian, aku tau nanti kat masjid korang catat apa-apa yang khatib cakap waktu khutbah Jumaat nanti. Balik nanti, aku tahu korang kumpulkan and letak kat dorm BADAR ea', sayup-sayup sahaja kedengaran suara Awis di dalam bas yang menempatkan puluhan pelajar Muslim untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Toleh ke bahagian buritan bas, terdapat segelintir pelajar senior yang galak bergelak ketawa bergurau dengan adik-adik. Kemesraan yang ada ini umpama telah diikat kukuh dalam kalangan setiap pelajar.

bersambung.......

No comments:

Post a Comment

Leave your comments if you want . Thank you .