Friday 18 May 2012

Siapa saya semalam, hari ini dan seterusnya.


Siapa saya semalam, hari ini dan seterusnya...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua.. Tiba-tiba, penulis rasa terpanggil pula untuk mencoretkan sedikit kisah hidup penulis kepada para pembaca. Entahlah, mungkin apa-apa yang ingin penulis coretkan ini tidaklah sehebat ataupun semasyhur bait-bait penulisan yang sebelumnya. Namun cukuplah penulis katakan yang tulisan penulis untuk kali ini lebih kepada pengajaran dan iktibar yang harus diambil oleh semua orang yang membaca.

Penulis memulakan hidup di Sekolah Menengah Sains Johor dalam keadaan yang naif. Serba-serbi penulis tidak tahu tentang kehidupan di asrama. Namun, penulis tabahkan hati jua untuk terus berada di sini. Ramai rakan seangkatan penulis yang telah pergi meninggalkan perjuangan mereka ketika minggu orientasi para pelajar Tingkatan 1. Penulis juga turut merasakan peritnya berjauhan dengan keluarga serta payahnya menguruskan kehidupan sendiri. Namun, demi cita-cita, penulis terus memahat azam penulis sedalam mungkin ke dalam pamah sekolah yang tercinta ini.

Penulis memulakan status penulis di sini sebagai seorang juara. Penulis berada di kedudukan sepuluh terbaik dalam ujian kurikulum 1 semasa di tingkatan 1 dan mendapat tempat ke-2 dalam kelas penulis ketika itu.Sedikit demi sedikit perasaan bangga diri, takbur dan meninggi diri mula berakar dalam diri penulis. Penulis mula mengasingkan diri daripada rakan-rakan yang lain kerana penulis merasakan penulis tidak perlukan mereka untuk berjaya. Kebanyakan masa penulis dihabiskan di kelas dan menelaah pelajaran dengan tekun sekali. Sepanjang peperiksaan di Tingkatan 1 sehinggalah Tingkatan 2, penulis tidak pernah dapat kurang daripada 6A daripada 8 subjek peperiksaan yang ditempuh. Penulis juga mula berasa diri penulis perlu dihormati dan dipandang tinggi oleh semua rakan yang lain kerana penulis merupakan pelajar lelaki ke-2 terpandai dalam tingkatan. Dan pernah sekali penulis mengalahkan saingan terkuat penulis ketika satu ujian kurikulum di Tingkatan 2. Penulis mendapat tempat ke-3 dalam tingkatan ketika itu dan pelajar lelaki pertama di belakang dua lagi pelajar perempuan. Lagilah menebal sikap bangga diri penulis. Penulis mula lupa asal-usul dan tujuan sebenar penulis ketika mula-mula melangkah ke gerbang sekolah ini dahulu. Sedikit demi sedikit penulis mula mengurangkan rasa hormat penulis kepada rakan-rakan yang lain dan sedikit demi sedikit juga penulis menjauhkan diri daripada agama.

Ketika di Tingkatan 3, prestasi penulis sedikit goyah. Beberapa pelajar sudah mula memintas penulis. Namun, sikap tidak suka didahului penulis dahulu sudah mula sirna. Mungkin sudah hendak PMR, itu pasallah ramai yang dah mula fokus. Hanya itu sahaja jawapan yang mampu penulis sediakan untuk menjawab keraguan penulis yang sudah mula bersarang. Penulis pernah diuji dengan mendapat gred C dalam Matematik ketika ujian percubaan PMR SBP dan satu-satunya pelajar yang mendapat gred selain daripada A bagi subjek tersebut dalam kelas penulis. Penulis langsung tidak buka mata, buka hati, buka fikiran. Malah, penulis sudah mula menyalahkan tuhan kerana 'menggoyahkan' semangat penulis.Astaghfirullahalazim..jahilnya penulis ketika itu. Namun, tuhan masih sudi membuka tirai harapan- Nya kepada penulis.

Penulis tetap dikurniakan 8A dalam PMR. Namun, ketika mengambil slip PMR ketika itu, penulis rasa kosong. Penulis mula memerhatikan sekeliling. Hampir semua daripada rakan-rakan penulis turut mensyukuri nikmat 8A mereka. Ya, pencapaian mereka ketika itu sama sahaja seperti penulis. Jadi, di manakah letaknya sekarang kemasyhuran dan hormat penulis?? Penulis dapa 8A dan begitu juga mereka. Penulis mula sangsi dengan pegangan hidup membangga diri penulis selama ini. Ada sesuatu yang benar-benar telah mengetuk pintu ego penulis ketika itu.

Semasa di Tingkatan 4, penulis mula hilang fokus dan panduan. Penulis secara total mengabaikan prestasi akademik penulis. Penulis mula girang dan hilang tenggelam dalam arus dunia bukan akademik yang penulis rasakan benar-benar sesuai dengan diri penulis. Penulis jarang berada dalam kelas sebaliknya lebih banyak masa penulis dihabiskan untuk menyertai aktiviti-aktiviti luar kelas. Penulis langsung tidak berasa risau dengan kebangkitan rakan-rakan yang lain. Penulis sekadar melegakan hati penulis sendiri dengan berulang kali mengatakan bahawa tidak mengapa untuk sekali-sekala berada di bawah. Tapi, bukan sekali, dua kali atau tiga kali, namun berkali-kali penulis terus dikambus di bawah. Penulis sudah sesak dan tidak mampu memapah diri penulis sendiri. Penulis fikir ketika berada di Tingkatan 5 nanti penulis mampu untuk bangkit semula.Namun, seinci pun penulis tidak mampu menongkat diri penulis. Penulis terus tenggelam dengan sikap bongkak, keras kepala dan bangga diri. Nasihat para guru juga penulis main-mainkan.

Pada hari keputusan SPM dikeluarkan, sebaik sahaja menatap keputusan penulis, dunia penulis gelap. Penulis membuang pandang kepada keluarga penulis terutamanya ibu dan ayah penulis. Penulis tergamam. Ya Allah, apa yang penulis sudah buat....??? Segala sikap tamak, iri hati, hasad dengki dan pelbagai lagi sikap negatif yang selama ini mengapungkan diri penulis dalam dunia khayalan penulis sendiri kini hilang dalam sesal yang penulis sendiri tidak tahu betapa mana besarnya. Penulis cuba untuk reda dan mengikhlaskan diri penulis, namun penulis masih tidak mampu memaafkan diri penulis. Mungkin ini adalah hanya peringatan kecil daripada yang berkuasa kepada diri penulis..

Kasih sayang-Nya sangatlah luas. Dia masih sudi merencanakan yang terbaik untuk penulis yang suatu ketika pernah lupa dan sengaja mengeluarkan diri penulis daripada landasan-Nya. Dia masih memberi peluang kepada penulis untuk mengecapi nikmat-Nya. Terima kasih tuhan kerana masih sudi bersama dalam saat-saat kehidupan yang getir ini.

Tulisan ini bukanlah ingin mendapatkan publisiti murahan mahupun bersifat picisan, namun biarlah para pembaca dan penulis dapat belajar sesuatu daripada penulisan penulis kali ini. Walau sehebat mana pun kita, jika kita lalai sedikitpun kepada-Nya, sakitnya kesulitan yang diberikan-Nya tidak dapat diungkapkan denga kata-kata. Penulis rasa bersyukur kerana telah dipilih untuk merasai rencah kehidupan yang tidak semua orang dapat rasai.

Namun, percayalah, rencah kehidupan ini tidak usahlah untuk yng lain-lain untuk turut mencicipnya walau sedikit. Sulit dan getirnya tidak terperi. Pesan penulis untuk para pembaca dan diri penulis sendiri, sentiasalah merendah diri walaupun dengan diri sendiri. Akan tiba suatu saat nanti dengan izin-Nya, akan digantikan sifat bangga diri dan menunjuk-nunjuk itu dengan sifat khilaf dan kebodohan yang mungkin tidak kita sedari, namun orang yang berada di sekitar kita akan melihatnya dalam diri kita sendiri. Rendahkanlah hati, bukakanlah fikiran untuk menerima teguran dan yang penting sudi-sudikanlah untuk menadah tangan berdoa kepada-Nya agar sifat tawaduk dan taqwa menebal dalam rimbun hati kita.

Amin ya rabbal alamin..........

1 comment:

  1. Hanya kepada-MU ya Allah ku berserah...

    ReplyDelete

Leave your comments if you want . Thank you .